Thursday, June 2, 2011

Ujian Saringan Kanser Payudara

Apakah yang perlu saya tahu mengenai kanser payudara?
  • Ia adalah kanser yang kerap dikesan dikalangan wanita.
  • Ia adalah faktor utama kematian akibat kanser dikalangan wanita.
  • Ia adalah penyebab utama kematian awal.
  • 9% dari keseluruhan kanser di dunia.
  • 6 - 8% keseluruhan kematian kanser.
Adakah kanser payudara kerap berlaku di Malaysia?
Ya. Di Malaysia, dianggarkan 27 wanita dari setiap 100,000 penduduk mengalami kanser payudara berbanding 18 wanita dari setiap 100,000 penduduk mengalami kanser pangkal rahim (penyebab kedua kanser yang sering berlaku dikalangan wanita). Dalam setahun dianggarkan seramai 2,700 - 3,000 kes baru didiagnosakan sebagai kanser payudara.
Adakah terdapat sebarang tanda amaran?
Ya. Jika anda mengalami keadaan-keadaan seperti berikut, sila berjumpa doktor atau pergi ke klinik kesihatan yang berhampiran.
  • Ketulan yang tidak sakit - Di payudara atau ketiak
  • Ruam yang berterusan - Sekeliling puting
  • Perdarahan atau lelehan luarbiasa dari puting.
  • Perubahan pada kulit - Bengkak dan menebal/Berlubang/Permukaan kulit yang berkedut
  • Puting tertarik ke dalam
Bagaimanakah saya perlu melihat perubahan tersebut?
Kebanyakan ketulan payudara dikesan oleh wanita itu sendiri.
  • Periksa payudara anda dengan kerap melalui Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP).
  • Melalui pemeriksaan berkala anda dapat mengesan walaupun satu ketul yang kecil.
Apakah pemeriksaan sendiri payudara (PSP)? PSP ialah pemeriksaan sendiri payudara mengikut langkah tertentu. Ia merangkumi 5 langkah :
Langkah 1 - Berdiri di hadapan cermin dan lihat sebarang perubahan pada payudara.
Langkah 2 - Rasa sebarang perubahan secara berbaring.
Langkah 3 - Periksa puting untuk sebarang perdarahan atau lelehan.
Langkah 4 - Rasa sebarang ketulan di bawah ketiak.
Langkah 5 - Ulangi setiap langkah di atas untuk payudara sebelah lagi.
Berapa kerap seharusnya saya melakukan PSP?
  • PSP seharusnya dibuat sebulan sekali (untuk mereka yang masih mempunyai haid). Waktu yang sesuai ialah 7 - 10 hari selepas haid.
  • Untuk wanita yang telah putus haid, ambil satu tarikh yang mudah diingati dan lakukan setiap bulan sama ada hari pertama atau terakhir bulan tersebut.
Apakah seharusnya saya buat jika saya dapati keadaan luar biasa? Sekiranya anda dapat mengesan sebarang tanda seperti yang dinyatakan sebelum ini, sila rujuk doktor anda. Jangan takut, tidak semua ketumbuhan di payudara adalah kanser. Contohnya : 'Fibroadenoma'.
Fibroadenoma : Ia biasanya berlaku dikalangan wanita yang muda, tidak menyakitkan dan 'mobile'.
Apakah ujian-ujian yang disediakan untuk mengesahkan kanser payudara?
Berikut adalah ujian yang dijalankan jika disyaki kanser :
Ujian darah
Fine Needle Aspiration Biopsy (FNAB)
Core needle biopsy
Ultrasound
Mammography
Apakah itu 'FNAB'?
Adalah ujian yang dijalankan dengan pengambilan sampel ketulan yang disyaki dengan menggunakan picagari dan jarum yang halus dengan menggunakan teknik steril. Sampel yang diambil akan dihantar ke makmal untuk dikaji oleh pakar.
Apakah itu 'Mammogram'?
'Mammogram' adalah salah satu ujian yang dijalankan untuk mengesan perubahan pada tisu payudara dengan menggunakan mesin x-ray yang direka khas. Ia dilakukan dengan menekan payudara diantara dua kepingan logam. Ia mungkin menyebabkan ketidakselesaan/kesakitan untuk beberapa ketika. Ia boleh mengukur saiz dan penyebaran kanser di payudara dan mengesan kanser pada payudara sebelah lagi.
Apakah itu 'Core Needle Biopsy'?
Ia adalah satu ujian dimana sampel tisu payudara diambil menggunakan jarum yang lebih besar saiznya. Sampel itu akan dihantar ke makmal untuk kajian.
Apakah itu 'Clinical Breast Examination (CBE)'? Ini adalah pemeriksaan yang dibuat oleh doktor atau anggota kesihatan yang terlatih untuk memeriksa payudara anda.
Apakah rawatan kanser payudara yang disediakan? Rawatan yang diberi bergantung kepada jenis dan keterukan kanser. Sekiranya anda di diagnosakan mengidap kanser payudara, anda perlu mendapatkan khidmat kaunseling terlebih dahulu sebelum rawatan dimulakan. Kajian menunjukkan bahawa jika kaunseling, sokongan dan maklumat mengenai penyakit dan rawatan yang dijalankan diberi, ia akan membantu pemulihan dari segi fizikal dan emosi.
Berikut adalah pilihan rawatan: Pembedahan
Pembedahan tanpa membuang payudara (Breast Conservation Surgery)
Pembuangan payudara (Mastectomy)
Pembentukan semula payudara (Breast Reconstruction)
Radiotherapy
Chemotherapy
Hormone therapy
Apakah yang perlu saya lakukan untuk mengurangkan risiko kanser payudara?
  • Mulakan PSP hari ini.
  • Buat PSP secara berkala
  • Makan makanan kurang berlemak khususnya lemak haiwan
  • Lebihkan pengambilan sayur-sayuran, buah-buahan dan serat.
  • Lakukan senaman yang mencukupi
  • Kekalkan berat badan yang unggul.
  • Sekiranya keluarga terdekat anda ada kanser payudara, lakukan ujian 'mammogram' awal.
Siapakah yang berkemungkinan mendapat kanser payudara? Kanser payudara biasa berlaku dikalangan wanita. Walau bagaimanapun lebih kurang 5% berlaku dikalangan lelaki. Berikut adalah wanita yang berisiko tinggi untuk mendapat kanser payudara :
  • Selepas berumur 25 tahun dan selalunya berlaku semasa berumur diantara 45 – 55 tahun.;
  • Pernah mengidap kanser di sebelah payudara;
  • Keluarga terdekat sama ada ibu atau adik-beradik perempuan yang mengidap kanser payudara;
  • Tidak pernah mengandung atau mendapat anak pertama selepas berumur 30 tahun;
  • Mula haid awal atau putus haid lewat;
  • Ada penyakit tertentu berkaitan payudara. (seperti 'proliferative breast disease');
  • Faktor keturunan (seperti pembawa 'BRCA1, BRCA2, BRCA3');
  • Gemuk (IJB anda ≥ 27.5)
  • Mengambil makanan yang tinggi kandungan lemak/kolesterol.
Dimanakah saya boleh mendapatkan sokongan atau bantuan? Jangan risau. Anda tidak bersendirian. Terdapat ramai individu atau kumpulan sokongan yang sedia membantu anda. Anda boleh berhubung dengan pertubuhan berikut :
  • MAKNA
  • AWAM
  • WAO
  • Hospis
Soalan Lazim
Apakah yang perlu saya lakukan jika keluarga ada sejarah kanser payudara? Jangan risau. Sekiranya anda sudah melakukan Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP), teruskan seperti biasa. Amalkan cara hidup sihat, makan secara sihat dan teruskan bersenam. Sekiranya ibu atau adik-beradik perempuan menghidap kanser payudara, anda boleh meminta untuk menjalani ujian 'mammogram'. Walau bagaimanapun, keputusan laporan adalah lebih tepat jika anda berumur 40 tahun ke atas.

Bolehkah saya mendapatkan terapi tambahan atau tambahan rawatan lain untuk kanser payudara?
  • Ubat tambahan atau pilihan rawatan lain digunakan dengan meluas di seluruh dunia oleh pesakit kanser payudara.
  • Kajian menunjukkan bahawa 1/3 pesakit kanser payudara menggunakan terapi berikut.
  • Terapi ubat tambahan berguna dalam mengurangkan gejala dan meningkatkan kualiti hidup
  • Walau bagaimanapun pilihan rawatan lain boleh mengganggu sistem tubuh badan atau secara tidak langsung menyebabkan masalah yang lebih serius.
Di sini adalah contoh yang biasa digunakan dalam amalan terapi tambahan.
  • Urutan
  • Cara relaxasi
Apakah itu ujian baka kanser payudara? Ujian baka adalah ujian darah untuk menentukan sekiranya anda mempunyai baka kanser payudara .
Sebelum anda menjalani ujian tersebut, anda perlu :
  • Hadir sesi kaunseling 'genetik' yang intensif.;
  • Menandatangani borang persetujuan untuk setiap ujian 'genetik';
  • Melakarkan carta salasilah keluarga
Kebanyakan kes kanser payudara tidak berkaitan dengan baka kanser payudara. Para saintis masih belum dapat mengenalpasti kesemua baka yang menyebabkan penyakit ini. Oleh itu doktor hanya akan membuat ujian baka yang berkaitan sahaja kepada anda.
Terdapat 2 baka yang berkaitan dengan kejadian kanser payudara.
BRCA1
BRCA2
Untuk kebanyakan orang, adalah mustahak untuk mengetahui keputusan ujian mereka kerana maklumat ini membantu mereka menentukan kesihatan masa depan mereka sekeluarga.
Di Malaysia, ujian ini terdapat di beberapa Institusi dan Universiti sahaja.
Ujian Saringan - Kanser Servik
Apakah itu kanser servik?
  • Kanser pangkal rahim - Servik adalah bahagian pangkal atau bawah rahim yang bersambung dengan vagina.
  • Penyakit dimana sel-sel di servik membiak secara luarbiasa.
  • Ia boleh terbahagi kepada :
  • Peringkat awal - Berlaku di sekitar servik
  • Peringkat lewat
    • Merebak ke tisu-tisu berhampiran atau organ tubuh yang lain / 'malignant'
    • seperti paru-paru melalui sistem aliran darah
  • Merupakan kanser kedua terbanyak dikalangan wanita selepas kanser payudara.
  • Di Malaysia, senario yang sama berlaku dan terdapat peningkatan kes sejak kebelakangan ini.
  • Dianggarkan lebih kurang 18 orang wanita dari setiap 100,000 penduduk mengidap kanser ini.
  • 7.9% (2,000 - 3,000 kes setiap tahun) dari semua kes kanser yang dimasukkan ke hospital kerajaan adalah terdiri dari kanser servik.
  • 10.5% dari kematian wanita yang mengidap kanser di hospital kerajaan adalah disebabkan oleh kanser servik.
Apakah penyebab kanser pangkal rahim? Penyebab sebenar tidak diketahui tetapi terdapat beberapa faktor risiko yang mungkin boleh dikaitkan dengan penyakit ini.
Jika seseorang wanita mempunyai salah satu dari faktor berikut, mereka adalah golongan yang berisiko tinggi:
  • Memulakan perhubungan seksual pada usia terlalu muda.
  • Mempunyai pasangan seks berbilang
  • Mengandung lebih dari 5
  • Jangkitan kuman melalui hubungan seksual seperti 'HPV' (Human Papilloma Virus/wart virus)
  • Kurang jagaan kebersihan anggota sulit
  • Merokok (Kajian mendapati merokok boleh membuatkan sistem imun tubuh badan lebih terdedah kepada jangkitan virus dan penyakit berkaitan dengannya).
  • Kurang daya tahan melawan penyakit, disebabkan oleh jangkitan atau penyakit tertentu.
Para penyelidik masih cuba memahami mekanisma bagaimana faktor-faktor berikut berperanan menyebabkan kanser servik.
Adakah anda mengetahui tanda dan gejala kanser pangkal rahim?
Sila rujuk kepada doktor sekiranya anda mengalami salah satu daripada gejala berikut:
  • Perdarahan yang luarbiasa dari vagina (bukan haid)
  • Perdarahan yang banyak
  • Perdarahan yang berpanjangan
  • Perdarahan di antara haid
  • Sakit
  • Kehadiran darah beku
    • Perdarahan dari vagina selepas hubungan seksual
    • Sakit semasa hubungan seksual
    • Perdarahan dari vagina selepas putus haid
    • Keluar cecair yang luarbiasa dari vagina
  • Berbau
  • Bercampur darah
Bolehkah kanser pangkal rahim dikesan? Ya, boleh.
Kanser servik mengambil masa yang lama untuk terjadi - lebih kurang 10 - 15 tahun.
  • Ia memakan masa berbulan atau bertahun untuk seseorang itu diserang kanser - Serangan kanser biasanya berlaku dikalangan wanita yang berumur diantara 40 - 60 tahun.
  • Sebelum sel kanser servik dikesan, tisu-tisu di servik mula berubah dimana sel-sel luarbiasa mula dikesan (dikenali sebagai 'dysplasia')
  • Sel-sel luarbiasa ini boleh dikesan melalui ujian pap smear
Apakah ujian yang mengesahkannya? Sekiranya keputusan ujian pap smear anda positif, doktor akan meneruskan dengan kaedah colposcopy.
Sekiranya keputusan ini menunjukkan adanya "invasif" kanser, ujian seterusnya akan dijalankan :
Full blood count
Liver function test

Renal profile

Nota : Buat masa ini tiada ujian darah 'Tumor Markers' untuk mengesan kanser servik.
Apakah rawatan yang disediakan?
Doktor akan memberi kaunseling kepada anda mengenai rawatan pilihan yang bersesuaian.
Biasanya, terdapat 3 jenis rawatan :
  • Pembedahan
  • Radioterapi
  • Kemoterapi
Keputusan rawatan bergantung kepada jenis sel kanser yang dikesan.
Bagaimana untuk mencegah kanser pangkal rahim?
  • Mencegah lebih baik dari merawat.
  • Amalkan cara hidup yang sihat.
  • Setia pada pasangan anda.
  • Lakukan pap smear setiap 3 tahun.
  • Jumpa anggota kesihatan dan lakukan ujian pap smear, jika masih belum dilakukan lagi.
Apakah itu ujian Pap Smear?
  • merupakan suatu ujian untuk memeriksa kesihatan servik.
  • Ia boleh menyelamatkan nyawa anda
  • Ia adalah satu saringan untuk mengesan keadaan pra-kanser (sebelum terjadi) iaitu terdapat sel serviks luar biasa yang boleh mengakibatkan kanser.
  • Ia adalah sempena orang yang pertama menjumpai cara ini pada tahun 1940 iaitu DR. GEORGE PAPANICOLAOU.
  • Ia adalah satu prosidur yang mudah dimana sedikit sel diambil dari servik dan dihantar ke makmal untuk kajian.
  • Tidak perlu ubat atau bius.
  • Mengambil masa beberapa minit sahaja.
Soalan Lazim
Adakah ujian itu menyakitkan?
  • Tidak menyakitkan.
  • Jika anda merasa tegang semasa prosidur dijalankan, anda mungkin rasa tidak selesa, cuba relak dan tarik nafas panjang.
Siapakah yang harus menjalani ujian tersebut? Wanita berumur diantara 20 - 65 tahun, mereka yang pernah atau aktif dalam hubungan seksual.
Siapakah yang akan menjalankan ujian tersebut? Doktor atau jururawat yang terlatih akan menjalankannya.
Apakah yang sebenar berlaku semasa ujian tersebut dilakukan?
  • Tanggalkan seluar dalam.
  • Berbaring di atas katil.
  • Doktor atau jururawat akan memasukkan alat kecil yang dinamakan spekulum ke dalam vagina dengan lembut supaya servik boleh dilihat.
  • Sejenis kayu 'wooden spatula' dan berus yang kecil 'cytobrush' dimasukkan ke dalam pangkal rahim (keseluruhan servik 360o) untuk mengambil sedikit sel.
  • Sampel ini disapu di atas slaid dan dihantar ke makmal untuk diperiksa di bawah mikroskopi dimana lapuran akan dibuat.
  • Ujian ini mengambil masa beberapa minit sahaja.
Apakah persediaan awal yang patut saya lakukan?
  • Ujian ini tidak dapat dijalankan semasa anda kedatangan haid.
  • Pastikan dapat tarikh temujanji sebelum atau selepas haid.
  • Waktu yang sesuai adalah pertengahan atau selepas 10 hari kitaran haid.
Bagaimana dengan hubungan seksual sebelum ujian?
  • Anda tidak digalakkan melakukan hubungan seks 24 jam sebelum ujian dijalankan kerana ia menyebabkan keputusan yang tidak tepat.
  • Jangan lakukan 'duoche' atau gunakan spermicid, perancang keluarga, kaedah halangan atau penggunaan jelly 'lubricant' 2 hari sebelum ujian dijalankan. Bahan kimia yang terdapat dalam bahan tersebut mungkin boleh memberi kesan kepada kualiti sampel.
Bilakah saya mendapat keputusannya?
  • Bila anda melakukan ujian tersebut, anda akan diberitahu masa dan tempat untuk mendapatkan keputusan..
  • Biasanya dalam 3 minggu hingga 3 bulan bergantung kepada beban kerja makmal dan klinik tersebut.
Berapa kerap saya perlu membuat ujian Pap Smear?
  • Sekiranya anda berumur antara 20 - 65 tahun, pernah atau aktif dalam hubungan seksual, anda digalakkan untuk menjalani ujian ini setiap tahun selama 2 tahun.
  • Sekiranya keputusan itu negatif, anda digalakkan mengulangi setiap 3 tahun sekali.
Dimanakah saya boleh mendapatkan ujian tersebut?
  • Di semua klinik dan hospital kerajaan
  • Di klinik/hospital swasta
  • Federation of Family Planning Association Of Malaysia (FFPAM)
  • Lembaga Penduduk Perancang Keluarga Negara (LPPKN)
Apakah makna keputusan tersebut?
  • Keputusan yang normal bermaksud tiada keadaan luarbiasa atau masalah yang dikesan.
  • Keputusan yang luarbiasa bermaksud, anda dan anggota kesihatan perlu berunding untuk rawatan selanjutnya.
  • Keputusan luarbiasa adalah seperti berikut :
  • Kesan mikroorganisma atau virus (Jangkitan penyakit kelamin) boleh dikesan pada smear.
  • Sel-sel itu mungkin berubah akibat jangkitan (perubahan ini sementara dan setempat ('benign' - bukan menunjukkan kanser)
  • Sel-sel di servik mungkin menunjukkan perubahan seperti keadaan pra-kanser (sebelum berlaku kanser).
  • Apa yang patut dilakukan seterusnya :
  • Rawatan susulan
  • Ulangi ujian pap smear dalam 3-6 bulan
  • Jalani pemeriksaan kolposkopi
Apakah itu kolposkopi?
  • Satu alat diagnostik yang membolehkan doktor melihat saiz dan kawasan servik yang luarbiasa.
  • Ia adalah kaca pembesar yang membolehkan doktor melihat dengan jelas perubahan pada servik.
  • Alat ini tidak dimasukkan ke dalam tubuh badan.
  • Kurang menyakitkan.
  • Sesetengah orang merasa tidak selesa.
  • Sampel tisu biopsy mungkin diambil untuk ujian selanjutnya.
  • Kawasan itu mungkin dirawat dengan 'electro coagulation', 'laser' atau 'cryosurgery' untuk memusnahkan tisu-tisu yang terlibat.
Apakah persediaan awal yang patut saya lakukan?
  • Tidak boleh dilakukan semasa kedatangan haid.
  • Pastikan mendapat tarikh temujanji sebelum atau selepas haid.
  • Waktu yang sesuai ialah pertengahan atau selepas 10 hari kitaran haid.
Rujukan.
  • Ministry of Health, 2002. National Cancer Registry Report
  • Ministry of Health, 2002. Annual Report
  • Ministry of Health, 2003. Clinical Practice Guidelines - Management of Cervical Cancer

No comments:

Post a Comment